Sunday, January 23, 2011

Wednesday, January 19, 2011

ALATAN MUZIK BUGIS NEGERI SELANGOR

Di Negeri Selangor alat muzik yang digunakan di dalam persembahan tarian Bugis Selangor tidak mempunyai persamaan dengan alatan muzik di Sulawesi Selatan. Negeri Selangor hanya menggunakan tiga alat muzik yang penting iaitu kecapi, gendang Bugis dan seruling Bugis. Gambar 4.0 merupakan peralatan muzik yang digunakan untuk mengiringi acara atau persembahan di kalangan masyarakat Bugis di negeri Selangor.

Alat muzik untuk persembahan tarian dan muzik Bugis di negeri Selangor ini dimainkan seramai lima orang pemain lelaki, di mana dua orang pemain gendang Bugis memainkan gendang ibu dan gendang anak. Seruling Bugis dan kecapi dimainkan setiap seorang mengikut alatan muzik dan seorang penyanyi. Mereka memainkan ritma, tempo dan melodi muzik yang masih mengekalkan keaslian muzik dan alunan muzik Bugis. 

KECAPI

Kecapi merupakan salah satu alat muzik utama yang sangat penting kerana ia menghasilkan melodi untuk tarian Poja dan juga merupakan simbol identiti orang Bugis. Ia merupakan salah satu alat muzik tradisional Sulawesi Selatan yang bersumberkan bunyi dari dawai yang tergolong di dalam alat muzik chordophone. Alat muzik ini dibuat daripada kayu nangka yang berbentuk sebuah sampan atau kapal yang diinspirasi daripada kapal layar orang Bugis.

GENDANG BUGIS

Gendang Bugis atau Cemara Bugis merupakan alat muzik yang mempunyai 2 permukaan bulatan kiri dan kanan berbentuk silinder. Bahannya diperbuat dari kayu seperti kayu batang pohon cendana, kayu batang pohon nangka, kayu batang pohon kelapa dan kayu jati. Permukaan kedua-dua belah gendang tersebut ditutupi dengan kulit kambing sebagai sumber bunyi dengan rautan rotan kecil yang dibelah empat sebagai penarik sekat atau pembentang kulit kambing tersebut untuk mendapatkan hasil bunyi dan paluan yang diinginkan. Paluannya sangat mempengaruhi pergerakan tarian Poja Bugis Selangor khasnya pada tempo dan menjadi tanda atau isyarat untuk pertukaran gerakan dan pergerakan sewaktu mencampakan bunga rampai. Pemain gendang Bugis atau cemara Bugis ini akan memainkannya dengan silang bertingkah antara satu sama lain.

SERULING 

Seruling pula berfungsi sebagai pengiring melodi kepada kecapi Bugis. Seruling ini diperbuat daripada buluh yang mempunyai 5 lubang angin untuk menghasilkan bunyi apabila ditiup.

Lagu yang dimainkan untuk tarian Poja ini ialah lagu dan lirik yang diambil dari lagu rakyat masyarakat kaum Bugis-Makasar iaitu ‘Ati Raja’. Lagu “Ati Raja” merupakan sebuah lagu yang berasal dari Makassar Sulawesi Selatan. Lagu ciptaan oleh seorang sasterawan Makassar dari suku Tionghoa bernama Hoo Eng Djie. Pada tahun 1930 hingga 1960 nama beliau sangat terkenal melahirkan lagu-lagu serta syair-syair di dalam bahasa Makassar hingga ke hari ini . Antara lagu lagu-lagu yang dicipta antaranya ialah ‘Ati Raja’, ‘Dendang-dendang’, ‘Sailong’ dan ‘Amma Ciang’. Njoo Cheng Seng merupakan seorang penterjemah bagi lagu-lagu dan syair-syair Hoo Eng Gjie dari bahasa Makassar ke dalam bahasa Indonesia.

            Di negeri Selangor, lagu ‘Ati Raja’ dinyanyikan dan digunakan di dalam persembahan bagi mengiringi tarian Poja untuk acara majlis rasmi dan sebagainya. Lagu tersebut dialunkan dan disampaikan oleh seorang penyanyi mengikut lirik yang mempunyai maksud tersendiri. Diringi dengan muzik yang dimainkan oleh pemuzik bersama-sama alatan muzik seperti kecapi, gendang Bugis dan seruling Bugis. 


ATI RAJA

Se’re-Se’re ji batara baule

Ati raja nakijai pa’nganroi baule

Rajale alla kereaminjo

Ati.. Ati.. Ati raja

Natarima pappala’na baule


MAKSUD


Hanya ada satu tuhan

Ati Raja, hanya kepadamu kami meminta

Apapun itu yang sesungguhnya

Ati.. Ati.. Ati raja

Pasti akan diterima segala permintaan



    Lagu dan iringan yang dimainkan untuk persembahan tarian Poja di negeri Selangor adalah lagu persembahan yang berversi pendek berdurasi selama 3 minit. Dahulunya persembahan tarian Poja di negeri Selangor ini dimainkan secara langsung dan terus-menerus dengan pemuzik dan nyanyian lagu ‘Ati Raja’. Setelah mengalami perubahan dengan penerimaan masyarakat sekeliling tentang muzik dan nyanyiannya, lagu tersebut dimainkan dengan menggunakan sistem audio cakera padat yang dirakam bagi memudahkan persembahan dijalankan tanpa pemuzik dengan durasi selama tiga minit.



Tuesday, January 18, 2011

BUSANA CARA PEMAKAIAN PERSEMBAHAN


BAJU BODO

    Taylor (1958) telah mengemukan konsep budaya yang bererti civilization, meletakkan fungsi pakaian sebagai sesuatu yang diperlukan dalam masyarakatnya. Sebagai unsur budaya pakaian melalui tingkat perkembangan atau evolusi yang panjang melibatkan kepakaran, pengetahuan, kepercayaan, seni, moral dan pantang larang. Di sini, pakaian tidak hanya berfungsi sebagai gunaan, bahkan dinilai dapat mewakili cita rasa masyarakat yang melibatkan persoalan simbol dan estetika.

    Busana dapat memperlambangkan cara pemakaian serta perhiasan oleh masyarakat Bugis di Selangor melalui aspek perlengkapan. Terdapat 7 perkara utama yang perlu dilengkapi bagi meliputi cara pemakaian busana tarian Poja di negeri Selangor iaitu;

1) Bahagian Atas Badan – Baju Bodo/Baju Labbu
2) Bahagian Bawah Pinggang – Kain Sarung Lipa Sabbe
3) Bahagian Kepala – Mahkota (Bando)
4) Bahagian Telinga – Anting-anting (Bangkarak)
5) Bahagian Tangan – Gelang Tangan (Tigerro Tedong)
6) Bahagian Dada – Kalung Panjang (Geno Ma Bule)
7) Bahagian Pinggang – Ikat Pinggang (Salipi)

    Busana yang digunapakai di dalam persembahan tarian Bugis Selangor ini merupakan gaya pemakaian ketika perasmian Muzium Sultan Alam Shah pada 02 Semptember 1989. Busana tersebut masih mempunyai nilai dan ciri tradisi Bugis tempatan di negeri Selangor yang telah dinyatakan oleh Dato’ Paiman (Temu bual peribadi, 07/08/2020).


    Kain yang digunakan sebagai kain sarung diperbuat dari kain sutera corak Bugis yang dikenali dengan nama Lipa Sabbe atau Lipa Garusu dan memiliki lipatan kipas yang bernama Ombak Beralun di bahagian belakang kain. Lipa ialah kain sarung sutera utama yang pertama perlu dipakai sebelum memakai baju Bodo. Bahagian belakang baju akan dimasukkan ke dalam kain sarung bagi memperlihatkan lipatan kipas pada bahagian belakang kain sarung. Terdapat juga kain sarung yang diikat di bahagian pangkal kain di sisi kiri dan selebihnya dipegang oleh si pemakai. Berdasarkan gambar 5.1 merupakan cara pemakaian busana yang digunakan di dalam tarian Poja oleh Kumpulan Kesenian Muzium Sultan Alam Shah pada tahun 1990. 



    Terdapat 5 perhiasan utama yang lengkap yang digunakan di dalam tarian Bugis di negeri Selangor oleh penari wanita sebagai pelengkap atau penyeri.

BANDO

    Perhiasan yang digunakan dibahagian kepala digelar mahkota atau Bando berwarna perak atau kuning cair yang diperbuat dari aluminium, dihiasi dengan motif-motif bunga dan daun disepanjang cekak atau perhiasan kepala tersebut. Sekiranya penari bergerak ketika menarikan tarian ini, bunga-bunga dan daun-daun yang menghiasi Bando tersebut juga akan turut bergoyang-goyang seolah-olah turut menarikan tarian tersebut.

BANGKARAK

Anting-anting (Bangkarak) yang di pakai di bahagian telinga untuk hiasan telinga.
GENO MA BULE

    Rantai yang digunakan pula digelar kalung panjang (Geno Ma Bule). Rantai ini memiliki sembilan pecahan bunga yang disusun bagi menyerikan bahagian dada. Ada pendapat yang mengatakan bahawa Sembilan pecahan bunga melambangkan Sembilan beradik susunan sembilan Daeng yang terkenal di Negeri Selangor. Terdapat juga pendapat bahawa pecahan sembilan melambangkan Negeri Selangor yang memiliki sembilan daerah.

TIGGERO TEDONG

    Pada bahagian pergelangan tangan pula akan dihiasi dengan gelang panjang (Tigerro Tedong) yang diperbuat dari aluminium berwarna perak atau kuning cair. Gelang panjang ini juga dihasilkan dengan motif-motif bunga dan daun. Apabila gelang tangan ini dipakai oleh para penari, ia akan menutup separuh dari lengan mereka.


SALIPI

    Ikat pinggang (Salipi) atau tali pinggang emas/perak juga digunakan bagi melengkapkan dan memperkemaskan lagi ikatan kain sarong. Salipi atau tali pinggang digunakan setelah tarian Poja mula diperkenalkan kepada khalayak. Pada masa dahulu, tali pinggang tidak digunakan kerana penari hanya mengikat sahaja pangkal kain.


GERAK TARI / PROP

GERAKAN TARI

    Secara keseluruhannya, semua pergerakan di dalam tarian ini adalah gerakan simbolik atau gerakan-gerakan khusus sebagai tanda menghormati Sultan atau tetamu. Keunikan tarian ini adalah dari sudut teknik liuk badan, kelembutan pergerakan jari, tangan, melangkah, duduk dan henjutan badan dengan teknik gerak bugis.

    Terdapat 6 Ragam Tari di dalam Strktur pergerakan Tarian Poja iaitu;

1. Ragam Duduk Tindih Kasih

2. Ragam Sembah Campak Bunga

3. Ragam Doa Sembah

4. Ragam Bangun Berjalan

5. Ragam Campak Tabur

6. Ragam Lenggang Ombak Beralun

 

Terdapat 3 bahagian di dalam struktur persembahan Tarian Poja iaitu:

1. Sambut Tamu

2. Raikan Tamu

3. Tanda Kasih 

 

PROP



    Prop yang digunakan di dalam tarian ini ialah DUPA atau mangkuk yang berkaki. Di dalam DUPA berkaki ini akan diisi dengan bunga rampai yang berwarna-warni. Pada gerakan-gerakan atau gerak tari yang tertentu, penari akan mengambil bunga rampai tersebut dengan hanya menggunakan hujung jari dan menaburkannya kearah tetamu yang hadir sebagai tanda penghargaan kerana sudi hadir di majlis tersebut.

    Penggunaan bunga rampai di dalam persembahan ini adalah untuk memberikan satu aroma keharuman yang memberikan impak kesegaran di dalam sesuatu majlis yang sedang berlangsung.

PENGENALAN


    KHAIRUL ANUAR BIN ZAINUDIN ANAK SENI KELAHIRAN NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MERUPAKAN GRADUAN IJAZAH SARJANA (2021) DI DALAM BIDANG SENI PERSEMBAHAN MELAYU DI AKADEMI PENGAJIAN MELAYU UNIVERSITI MALAYA. MEMILIH DALAM MEMBUAT PENYELIDIKAN TENTANG TARI BUGIS DI NEGERI SELANGOR DENGAN TAJUK “TARIAN POJA DALAM MASYARAKAT BUGIS DI NEGERI SELANGOR: KAJIAN REKONSTRUKSI STRUKTUR TARI”. JUGA MERUPAKAN GRADUAN IJAZAH SARJANA MUDA TARI KOREOGRAFI DENGAN KEPUJIAN DARI ASWARA (2016). MEMPUNYAI PENGALAMAN DI DALAM BIDANG SENI TARI DAN TEATER BERMULA PADA TAHUN 1997 DAN BEKERJA SEBAGAI ARTIS BUDAYA DI KUMPULAN KESENIAN NEGERI SELANGOR SELAMA 12 TAHUN (1999-2011) . BELIAU PERNAH DIANUGERAHKAN ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG KERAJAAN NEGERI SELANGOR (2009) DAN MERUPAKAN MANTAN PENGAJAR/JURULATIH TARI DI SEKOLAH SENI MALAYSIA JOHOR BAHRU (2011-2013).

    BELIAU TELAH BANYAK MERANGKUL PELBAGAI ANUGERAH PERTANDINGAN TARIAN DAN MELIBATKAN DIRI DENGAN PELBAGAI PERSEMBAHAN DI DALAM DAN LUAR NEGARA YANG MELIBATKAN KOREOGRAFI PERSEMBAHAN KHUSUSNYA TRADISIONAL SEPERTI INTERNATIONAL DANCE COMPETITION AUSTRIA DANCE OPEN 2020, INTERNATIONAL DANCE COMPETITION AMSTERDAM DANCE OPEN 2019, PJ FAIR FOLKLORE INTERNATIONAL FESTIVAL 2018, FESTARI PJ (2016, 2017, 2018 & 2019), FESENI UNIVERSITI MALAYA (2014-2019), FESTIVAL COLOUR OF THE WORLD (2012-2019). SELAIN ITU, BELIAU TERLIBAT DENGAN PELBAGAI PRODUKSI SEPERTI DANCE OF MALAYSIA 2014, HANG LI PO ASWARA (2015), ADUH SEROJA ASWARA (2015), MAIN ZAPIN ASWARA 2016, JALAN PRIMADONA 2016, SECTION BY STATION 2017, TEATER MEK MULUNG HIKAYAT PUTERI 12 BERADIK (2018), TEATER GEMILANG SEBUAH MUZIKAL (2019) DAN LAIN-LAIN.

    BAKAT SEMULA JADI BELIAU INI TURUT PERNAH DICALONKAN DAN MEMENANGI KATEGORI BEST COSTUME DESIGN, STYLING & MAKE UP (MUSICAL THEATER) DI 16TH BOH CAMERONIAN ARTS AWARD 2018 DI DALAM PRODUKSI TEATER MEK MULUNG HIKAYAT PUTERI 12 BERADIK.

    KINI BELIAU TELAH MENUBUHKAN SEBUAH SYARIKAT CHOREOARTS STUDIO BERSAMA RAKAN KONGSINYA BAGI USAHA MENERUSKAN MINAT DAN CINTANYA TERHADAP BIDANG SENI TARI DI DALAM BIDANG KOREOGRAFI, PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN TARI DI MALAYSIA.



PENGENALAN

     Negeri Selangor merupakan salah sebuah dari 13 negeri yang terdapat di Malaysia. Keluasan kawasan negeri Selangor meliputi tanah seluas 7,956 kilometer persegi yang terbahagi kepada sembilan buah daerah iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat, Sepang, Hulu Langat, Petaling, Gombak dan Hulu Selangor. Selangor mempunyai nilai sejarah, warisan dan kebudayaannya yang tersendiri, misalnya muzik cempuling, permainan wau kapal Selangor, sulaman kelingkan, kain telepuk, gasing Selangor, tarian Poja Selangor, tarian piring Selangor dan banyak lagi.

    Mahadzir (2017) mengatakan bahawa Tarian Poja merupakan sebuah tarian yang sangat popular di Negeri Selangor pada sekitar tahun 1990 di dalam penulisan artikel Dewan Budaya yang berjudul Tarian Poja Bugis Selangor, Dewan Bahasa Dan Pustaka, (pp. 24–29). Menurut Mohd. Asruddin Bin Selamat yang berumur 51 tahun, seorang Pembantu Kanan di Muzium Sultan Alam Shah merupakan seorang pemuzik kumpulan Kesenian Negeri Selangor pada tahun 1989 yang turut merupakan salah seorang ahli yang pertama mempelajari muzik yang bermain alat muzik seruling Bugis di dalam kumpulan tersebut ketika itu, beliau mempercayai bahawa Tarian Poja ini berasal dari tarian Pakkuru Sumange, Sulawesi Selatan ini telah dibawa ke Selangor pada tahun 1988. Melalui temubual bersama Mohd Asruddin (2016) tarian ini dibawa oleh Andi Ugie Kamariah yang merupakan seorang pereka tari dari Makasar Sulawesi, Indonesia. 

    Tarian Pakkuru Sumange ini telah dibawa oleh Andi Ugie Kamariah untuk Kumpulan Kesenian Muzium Sultan Alam Shah yang kini dikenali sebagai Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT). Atas tujuan daripada Kerajaan Negeri Selangor dalam perkara ke 4 iaitu mengkaji aliran kebudayaan yang berlaku dari Indonesia ke Malaysia dan menerapkan unsur-unsur kebudayaan termasuk adat istiadat, adat resam, pakaian, senibina dan sebagainya khususnya di negeri Selangor dari dahulu hingga ke hari ini.

    Namun tarian Poja Bugis Selangor ini mempunyai unsur-unsur mirip dan persamaan dengan tarian Pakkurru Sumange Sulawesi Selatan di daerah Soppeng Indonesia, iaitu sebuah tarian yang memberi simbolik tanda hormat atau salam sejahtera bagi tetamu yang datang dan bagi tuan rumah memohon doa restu atas kesejahteraan dan keakraban dalam silaturahim.

    Tarian Poja Bugis Selangor dipercayai memperlihatkan sebuah tarian yang melalui proses rekonstruksi dan penciptaan semula (reinvention) tari yang melambangkan tradisi di Selangor atas tujuan dan fungsi tertentu. Walaupun salah satu tujuan rekonstruksi adalah untuk menghidupkan semula sebuah tradisi, hakikatnya proses ini lebih banyak menyaksikan penciptaan semula tari berkenaan (Mohd Anis, 2004, pp.159-166). Kesan proses rekonstruksi terhadap tari tradisi sering dikaitkan dengan berlakunya perubahan dan penyesuaian yang berbeza-beza bergantung kepada situasi sesebuah persembahan. Perubahan dan penyesuaian ini telah memberi kesan terhadap bentuk, struktur dan gaya persembahan yang asal.

    Begitu juga dengan tarian Pattenun Selangor telah memperlihatkan sebuah tarian yang melalui sebuah proses penciptaan semula terhadap bentuk pengayaan dan pergerakan yang telah dilakukan oleh Andi Ugie Kamariah. Sebuah tarian asal yang dikenali dengan nama Pattenung ciptaan oleh Hj. Siti Nurhani Sapada pada tahun 1962 dari Sulawesi Selatan.

    Penulisan ini menyentuh tentang perkembangan dan penciptaan semula tari tradisi yang tercetus pada tahun 1989 iaitu melalui sebuah garapan tari yang dikenali sebagai tarian Poja dan Pattenun bagi masyarakat Bugis di negeri Selangor. Di mana tarian ini dilihat mempunyai persamaan dengan sebuah tarian dari Sulawesi Selatan yang dibawa masuk ke negeri Selangor pada tahun 1988.