Wednesday, January 19, 2011

ALATAN MUZIK BUGIS NEGERI SELANGOR

Di Negeri Selangor alat muzik yang digunakan di dalam persembahan tarian Bugis Selangor tidak mempunyai persamaan dengan alatan muzik di Sulawesi Selatan. Negeri Selangor hanya menggunakan tiga alat muzik yang penting iaitu kecapi, gendang Bugis dan seruling Bugis. Gambar 4.0 merupakan peralatan muzik yang digunakan untuk mengiringi acara atau persembahan di kalangan masyarakat Bugis di negeri Selangor.

Alat muzik untuk persembahan tarian dan muzik Bugis di negeri Selangor ini dimainkan seramai lima orang pemain lelaki, di mana dua orang pemain gendang Bugis memainkan gendang ibu dan gendang anak. Seruling Bugis dan kecapi dimainkan setiap seorang mengikut alatan muzik dan seorang penyanyi. Mereka memainkan ritma, tempo dan melodi muzik yang masih mengekalkan keaslian muzik dan alunan muzik Bugis. 

KECAPI

Kecapi merupakan salah satu alat muzik utama yang sangat penting kerana ia menghasilkan melodi untuk tarian Poja dan juga merupakan simbol identiti orang Bugis. Ia merupakan salah satu alat muzik tradisional Sulawesi Selatan yang bersumberkan bunyi dari dawai yang tergolong di dalam alat muzik chordophone. Alat muzik ini dibuat daripada kayu nangka yang berbentuk sebuah sampan atau kapal yang diinspirasi daripada kapal layar orang Bugis.

GENDANG BUGIS

Gendang Bugis atau Cemara Bugis merupakan alat muzik yang mempunyai 2 permukaan bulatan kiri dan kanan berbentuk silinder. Bahannya diperbuat dari kayu seperti kayu batang pohon cendana, kayu batang pohon nangka, kayu batang pohon kelapa dan kayu jati. Permukaan kedua-dua belah gendang tersebut ditutupi dengan kulit kambing sebagai sumber bunyi dengan rautan rotan kecil yang dibelah empat sebagai penarik sekat atau pembentang kulit kambing tersebut untuk mendapatkan hasil bunyi dan paluan yang diinginkan. Paluannya sangat mempengaruhi pergerakan tarian Poja Bugis Selangor khasnya pada tempo dan menjadi tanda atau isyarat untuk pertukaran gerakan dan pergerakan sewaktu mencampakan bunga rampai. Pemain gendang Bugis atau cemara Bugis ini akan memainkannya dengan silang bertingkah antara satu sama lain.

SERULING 

Seruling pula berfungsi sebagai pengiring melodi kepada kecapi Bugis. Seruling ini diperbuat daripada buluh yang mempunyai 5 lubang angin untuk menghasilkan bunyi apabila ditiup.

Lagu yang dimainkan untuk tarian Poja ini ialah lagu dan lirik yang diambil dari lagu rakyat masyarakat kaum Bugis-Makasar iaitu ‘Ati Raja’. Lagu “Ati Raja” merupakan sebuah lagu yang berasal dari Makassar Sulawesi Selatan. Lagu ciptaan oleh seorang sasterawan Makassar dari suku Tionghoa bernama Hoo Eng Djie. Pada tahun 1930 hingga 1960 nama beliau sangat terkenal melahirkan lagu-lagu serta syair-syair di dalam bahasa Makassar hingga ke hari ini . Antara lagu lagu-lagu yang dicipta antaranya ialah ‘Ati Raja’, ‘Dendang-dendang’, ‘Sailong’ dan ‘Amma Ciang’. Njoo Cheng Seng merupakan seorang penterjemah bagi lagu-lagu dan syair-syair Hoo Eng Gjie dari bahasa Makassar ke dalam bahasa Indonesia.

            Di negeri Selangor, lagu ‘Ati Raja’ dinyanyikan dan digunakan di dalam persembahan bagi mengiringi tarian Poja untuk acara majlis rasmi dan sebagainya. Lagu tersebut dialunkan dan disampaikan oleh seorang penyanyi mengikut lirik yang mempunyai maksud tersendiri. Diringi dengan muzik yang dimainkan oleh pemuzik bersama-sama alatan muzik seperti kecapi, gendang Bugis dan seruling Bugis. 


ATI RAJA

Se’re-Se’re ji batara baule

Ati raja nakijai pa’nganroi baule

Rajale alla kereaminjo

Ati.. Ati.. Ati raja

Natarima pappala’na baule


MAKSUD


Hanya ada satu tuhan

Ati Raja, hanya kepadamu kami meminta

Apapun itu yang sesungguhnya

Ati.. Ati.. Ati raja

Pasti akan diterima segala permintaan



    Lagu dan iringan yang dimainkan untuk persembahan tarian Poja di negeri Selangor adalah lagu persembahan yang berversi pendek berdurasi selama 3 minit. Dahulunya persembahan tarian Poja di negeri Selangor ini dimainkan secara langsung dan terus-menerus dengan pemuzik dan nyanyian lagu ‘Ati Raja’. Setelah mengalami perubahan dengan penerimaan masyarakat sekeliling tentang muzik dan nyanyiannya, lagu tersebut dimainkan dengan menggunakan sistem audio cakera padat yang dirakam bagi memudahkan persembahan dijalankan tanpa pemuzik dengan durasi selama tiga minit.



3 comments: